Friday, 29 July 2016

CERPEN 1: Hadirmu Bawa Bahagia

***
“SAKIT, Mak Long,” raunganku jelas kedengaran memenuhi ruang bilik sempit itu. terasa ingin tercabut kulit kepalaku akibat dari cengkaman tangan Mak Long Latifah pada rambut ikalku ini. Sesekali tamparan mak long mengenai pipi kiri ku. Terasa berpinar-pinar mataku dibuatnya.
“Kau tahu sakit?  Yang kau tak dengar cakap aku tu kenapa? Saja nak buat aku malu kan depan kawan-kawan aku?” seiring dengan lontaran suaranya yang semakin kuat, semakin kuat juga dia menarik rambutku.
Intan tak suka pakai baju macam tu,” aku memberanikan diri menyuarakan rasa tidak puas hati aku.
“Ekh, yang kau ni banyak cekadak sangat ni kenapa? Irina boleh je ikut cakap aku. Kenapa kau tak boleh?” ditunjal-tunjal kepalaku kasar. Mungkin melepaskan geram dalam hatinya. Eranganku langsung tidak dihiraukannya. Kau ni saja je nak memalukan aku kan? Memang dasar anak haram. Tak guna,” pahaku disepak kuat.
Semakin lebat juraian air mata menuruni pipiku. Salahkah jika aku hanya mempertahankan maruahku? Auratku? Hanya disebabkan aku tidak memakai baju yang diberi Mak Long, aku dipukul begini. Masakan aku mahu memakai baju yang ketat begitu. di hadapan tetamu yang hadir pada majlis hari lahir Mak Long pula tu.
“Kau ni kan kecik-kecik tak nak mampus, bila dah besar menyusahkan aku. Kau dengan bapak kau sama aja. Tak habis-habis menyusahkan,” ditolak lagi kepalaku. Hampir menyembah lantai. Aku biar saja. Sudah lali dengan sepak terajang serta tamparan dan cubitan Mak Long.
“Mampus pulak aku kerjakan kau ni,” serentak itu, paha aku disepaknya lagi sebelum dia mengangkat kaki keluar dari bilikku.
Aku bawa lututku rapat ke dada. Air mata yang sedari tadi mengalir tidak mahu berhenti. Walaupun sudah sering dilakukan sebegini, tubuhku masih terasa sakit. Pipiku masih perit akibat dari layangan tangan Mak Long. Tapak tanganku dibawa menutup wajahku yang basah dengan air mata.
“Kau tu degil sangat. memang padanlah dengan muka,” suara adikku, Irina kedengaran serentak dengan bunyi henyakan di katil usangku. Bukan susah pun apa yang Mak Long mintak. Just pakai baju yang dia bagi, itupun kau tak boleh buat. Bodoh betul,” sinis suaranya ditelingaku. Benda bukan main senang kau buat susah-susah. Tak fahamlah aku dengan kau ni. Bangang tak bertempat,”
“Kalau kau masuk nak menyumpah akak lagi, baik kau keluar, rin,”
“Kau ingat aku suka masuk stor kau ni? Huh, aku pun tak hinginlah,” dibaling bantal kecil ke arahku yang masih duduk memaut lutut di hujung penjuru katil sebelum dia melangkah keluar.

***
            “INTAN!” jeritan Mak Long yang mampu menggegarkan banglo dua tingkat ini kedengaran memanggil namaku. Cepat-cepat batang mop yang ku pegang tadi aku sandarkan ke dinding sebelum kakiku melangkah ke ruang tamu. Ada apa Mak Long?”
“Kau ni pekak ke tuli? Aku panggil macam nak tercabut anak tekak ni tahu? Bodoh,”
Cacian Mak Long berlalu bagaikan angin di telingaku. Datang dan terus pergi. “Maaf, Mak Long,”
“Itu ajelah yang kau tahu. Maaf, maaf. Naik muak telinga aku ni mendengar,” kertas putih yang dipegangnya tadi dibaling ke mukaku. “Esok aku nak kau masak ni semua. Petang ni kau pergi pasar dengan Azman. Beli barang,”
“Baik Mak Long,” tanpa bertanya lanjut, terus aku meminta diri semula untuk ke dapur. Mahu menyelesaikan semula tugas mengemop lantai yang tergendala sebentar tadi.

“BANYAK ke yang puan suruh masak, Intan?”
“Banyak jugaklah. Kerapu tiga rasa, asam pedas ikan pari, daging masak merah, kerabu ikan bilis, siakap masak steam, butter prawn dengan sotong goreng tepung,” aku menyenaraikan satu persatu menu yang tertulis di kertas putih pemberian Mak Long.
“Sakanlah dia nak menjamu. Anak bujang dia nak balik,”
“Anak bujang?”
“Intan ni takkan tak tahu. Faiz anak tunggal puan tu nak balik esok,”
Terus mindaku bekerja untuk mengingati Faiz. Anak tunggal Mak Long yang sebelum ini tinggal bersama ayahnya atau lebih tepat adalah bekas suami mak long di Australia. Sejak Mak Long dan suaminya, seorang warga Australia bercerai, anak tunggalnya mengikut suaminya berpindah ke sana. Meninggalkan Mak Long sendirian di Malaysia. Oleh sebab itulah, mak long mengambil keputusan untuk menjaga aku dan Irina.
“Kenapa senyap? Masih marahkan abang?”
“Tak ada apa. Kenapa pulak nak marahkan Abang Man?”
“Manalah tahu Intan masih marahkan abang lepas abang bagitahu perasaan abang pada Intan haritu,”
Aku hanya menggeleng. “Tiada apa yang perlu dimarahkan. Intan boleh terima abang?”
“Abang Man, kan Intan dah cakap yang Intan anggap Abang Man macam abang kandung Intan sendiri. Tak lebih pun,”
“Susahlah Intan ni. Kalau Intan terima abang, kita kahwin dan Intan boleh tinggalkan neraka tu,”
“Semudah tu ke, Abang Man? Macam mana pun, Mak Long tu tetap Mak Long Intan. Dia yang jaga Intan selama ni,”
“Intan je yang anggap macam tu. Puan Latifah tak pernah akui pun yang Intan ni anak saudara dia,”
Aku diam. Tidak membalas langsung kerana memang benar kata-kata Abang Man. Hanya aku yang menganggap Mak Long sebagai ibu saudaraku. Tapi tidak di pihak Mak Long.

***
SEGELAS nescafe yang dipinta oleh Faiz seusai makan malam tadi ku letakkan di atas dulang. Ingin membawanya ke ruang tamu dimana Faiz sedang menonton tv.
Elok sahaja aku berpaling, batang tubuh Faiz sudah tersandar di dinding di sudut dapur.
“Ya Allah,” aku yang tidak menjangkakan kehadirannya di situ terkejut. Tidak semena, dulang yang ku pegang berdentum jatuh serentak dengan bunyi kaca yang pecah. “Apa Abang Iz buat kat situ? Terkejut Intan,” cepat-cepat aku mencangkung. Cuba mengutip sisa kaca yang sudah bertaburan di atas lantai.
“Maafkan abang. Tak sangka Intan terkejut sampai macam tu sekali,” dia juga turut mencangkung. Mahu membantuku.
“Eh, tak payah. Intan boleh bersihkan sediri. Abang Iz tunggu dekat luar. Intan buat semula air untuk ganti yang tumpah ni,”
“Biarlah abang tolong,”
“Tak apa, Intan bersihkan sendiri,” Tanpa aku duga, aku memegang tangannya sebagai menghalang tindakannya yang ingin mengutip sisa kaca putih itu. Tindakan spontan aku itu menyebabkan dia menghentikan keinginannya. Matanya memandang tajam mata aku.
“Apa yang pecah tu?” sergahan Mak Long mengejutkan aku. Mungkin Faiz juga.
“Maafkan Intan Mak Long. Gelas yang pecah tadi,”
“Kau ni memang tak guna kan? Tak boleh kalau tak menyusahkan aku. Ni gelas mahal tahu tak. Bukannya sesen dua, bodoh,” ditunjal kasar kepala Intan.
“Apa mak ni? Bukannya Intan sengaja pun,” Faiz mempertahankan aku.
“Kamu jangan nak bela dia, Iz,” keras sura Mak Long memberi amaran. Kau bersihkan sekarang. Saja nak buat aku naik darah malam-malam ni. kalau tak bawak sial, bukan kau lah namanya tu,” terus Mak Long keluar dari ruang dapur.
“Tak apalah, Abang Iz. Intan bersihkan sendiri. nanti Intan buat semula air yang Abang Iz mintak tadi,”
“Tak payahlah. Abang dah tak teringin nak minum,”
“Maaflah,” pintaku saat tanganku mula mengutip sisa kaca untuk dimasukkan ke dalam plastik. “Intan tak sengaja. Tak pasal-pasal Abang Iz pun kena marah,”
Kerusi meja makan itu ditariknya sebelum didudukinya. Aku lihat Faiz masih memerhatikan kerjaku. “Abang yang patut minta maaf dengan Intan. Buat Intan terkejut,”
Aku diam. Tidak membalas kata-katanya. Sedikit sebanyak aku hairan, untuk apa dia berada di situ? Sudah lamakah dia bersandar di situ dan memerhatikan aku membancuh air buatnya? Hatiku berdebar halus. Tahu tingkahku kini masih dalam pemerhatiannya.

***
“INTAN nak ke mana?” Faiz bertanya setelah melihat aku memakai baju kurung kain kapas berwarna kuning cair berbunga kecil biru dengan tudung putih.
“Nak ke Giant. Beli barang dapur,”
“Dengan siapa?”
“Abang Man yang hantarkan. Tu dia dah tunggu kat kereta,” jari telunjukku menunjuk ke arah Azman yang sudah sedia di kereta.
“Tak payah menyusahkan orang. Pergi dengan abang,”
“Hah?” aku terkejut. “Ermm, tak apalah. Lagipun memang kerja Abang Man pun hantar Intan kalau nak pergi beli barang,”
“Tak apalah. Abang pun memang nak keluar ni. Nak jalan-jalan,” katanya sambil tersenyum. Pakaiannya aku tilik atas ke bawah. Patutlah bergaya semacam. Nak keluar rupanya.
No excuse. Pergi dengan abang,”
“Tapi, Intan ta…..,”
“Takut dengan mak?” kata-kataku dipangkasnya laju. “Abang kan ada, tak payah risaulah” cepat-cepat disarung kasutnya. “Pergi cakap dengan Azman yang Intan pergi dengan abang,” arahnya kepadaku. Aku yang masih terpinga-pinga terus akur dengan arahannya.

“KENAPA senyap je ni?” dia yang ku lihat sedang fokus memandu menegurku.
Aku menggeleng. Sedikit kekok apabila berhadapan dengan Faiz. Kadangkala tingkahnya membawa debar dalam hatiku.
“Intan, boleh abang tanya?” Aku mengangguk pula. Memberi keizinan untuknya bertanya.
“Kenapa mak buat intan macam tu?” mungkin dia hairan mengapa mak long memperlakukan aku sebegitu. Mungkin juga kerana dia sempat menjadi penonton ketika Mak Long menampar pipiku kelmarin kerana terlambat mengangkat baju di ampaian.
“Abang Iz salah tanya orang ni. Patutnya soalan tu Abang Iz tanya Mak Long, bukan Intan,” aku ketawa kecil.
“Tapi abang nak tahu dari mulut Intan sendiri,” Tawaku terhenti. Tegas nada suara lelaki yang sedang memandu ini. Jelas dia sedang menuntut sebuah jawapan dariku.
“Mungkin dia tak dapat terima Intan,”
“Sebab apa? Irina dia boleh pulak layan baik,”
“Intan ni tak jelas asal usulnya. Berbintikan Abdullah. Tak macam Irina yang memang jelas anak saudara mak long. Berbintikan Zahrin. Adik kandung mak long dan ayah saudara Abang Iz,”
Dia diam mendengarkan jawapanku. Aku juga diam selepas itu. membiarkan dia terus memandu dengan tenang.

“SERONOKLAH kau kan?” Tanganku yang sedang mencuci pinggan mangkuk terhenti.
“Apa maksud kau? Akak tak faham,”
“Tak payah buat blurlah. Macam mana Abang Iz boleh teman kau shopping?”
“Akak pergi beli barang dapur je pun,”
But still kau pergi dengan dia,”
“Dia yang offer. Bukan salah akak,” aku cuba mempertahankan diriku.
“Kau ni memang tak sedar dek untungkan? Kau ingat dia tergila-gilakan kau ke? Kalau tak sebab kau yang mengajak, tak ada maknanya dia nak offer diri kan? Kau ingat aku bodoh macam kau? Nak percaya macam tu aje. Kau goda dia kan?” Irina menolak bahuku kasar. “Jangan ingat kau boleh goda dia. Dia tak ingin pun dengan perempuan yang tak tentu usul macam kau ni. Entah siapa ayah kau. Entahkan penyamun, pencuri  atau penagih. Tapi yang pastinya, ayah kau perogollah. Rogol mak aku sampai buntingkan kau ni,” kepalaku pula ditolaknya. Aku masih lagi membatu.
“Jangan dekat dengan dia. Jangan berani pun nak bercakap dengan dia. Kalau tak, aku bagitahu Mak Long yang kau ni cuba goda Abang Iz. Dan kau pun tahu akibatnya kalau cerita ni sampai ke Mak Long kan?” sinis suaranya ditelingaku.

***
            SEJAK Irina mengugut untuk memberitahu Mak Long, aku sedaya upaya cuba menjauhkan diri dari Faiz. Kalaupun dia cuba bercakap denganku, aku hanya menjawab yang perlu sahaja. Tidak berani lagi berbual panjang dengannya. Bimbang Irina mengotakan kata-katanya untuk memberitahu Mak Long.
            Ketika itu, aku sibuk menuangkan air ke dalam gelas yang sudah tersedia di hujung meja.
“Intan tak makan sekali?” tegur Faiz kepadaku.
Belum sempat aku membuka mulut, Mak Long terlebih dahulu bersuara. “Tak payah mengada-ngada nak ajak dia. Nanti mak pulak tak ada selera,”
Aku mengetap bibir bawah. Pandangan mata Faiz terhadapku juga aku buat tak endah. Terus saja aku menuangkan air bandung ke dalam gelas.
“Abang, cuba rasa ni,” Irina menyua garfunya yang sudah dicucuk dengan udang ke mulut Faiz. Sajalah tu nak menunjuk dekat aku. Aku cepat-cepat bergerak ke dapur setelah selesai kerjaku di meja makan.

***
AIR nescafe yang masih berasap itu letak di atas dulang dan ku bawa menuju ke bilik bacaan. Setelah pintu ku ketuk, aku menatang dulang itu ke meja yang tersedia di ruang itu. Faiz memerhatikan sahaja langkah dan tindakanku tanpa suara.
“Ada apa-apa lagi? kalau tak ada Intan keluar dulu,”
“Ada,” dia mula bersuara. “Temankan abang,” perlahan sahaja suaranya.
Aku terkedu. “Sorry, Intan nak rehat,” aku menjawab tanpa memandang wajahnya. Intan keluar dulu,”
Segera dia bangun menghalang langkahku yang semakin menghampiri pintu untuk keluar. Tangannya memegang kejap lenganku yang memakai baju t shirt ungu berlengan panjang. “Kenapa Intan buat abang macam ni?”
Aku menunduk. Tidak berani bertentang mata dengannya. “Intan tak faham,”
“Intan layan abang nak tak nak je seminggu dua ni. Kenapa?”
“Tak ada sebab pun,” aku menarik kembali tanganku yang masih dipegangnya. Intan minta diri dulu,” terus sahaja aku menapak keluar daripada bilik bacaan. Ku hayun kakiku ke bilik kecilku di hujung dapur.

***
MALAM ini, aku sedang duduk di buaian luar. Angin malam yang berhembus perlahan membawa damai dalam hatiku. Setelah selesai mengemas dapur tadi, aku terus menapak ke taman luar ini. Tengkukku yang terasa agak lenguh ku urut perlahan.
“Penat?” pertanyaan itu mengejutkanku.
“Ab..Abang Iz,” aku kalut. Cepat-cepat aku bangun dari buaian yang ku duduki tadi. “Abang Iz nak apa-apa ke?”
Lelaki itu hanya menggeleng.
“Abang Iz nak duduk kat sini ke?” lelaki itu mengangguk. Sorry, Abang Iz duduklah. Intan masuk dulu”
“Abang nak duduk kat sini.. dengan Intan,” perlahan suara itu tapi masih boleh didengari oleh telingaku. Rambut yang ditutupi oleh tudung bawal biru itu, aku garu perlahan.
“Tak apalah. Intan tak nak ganggu Abang Iz. Abang Iz duduklah,” serta merta aku melangkah. Ingin masuk ke dalam rumah. Ketenangan yang baru ku rasa tadi sudah terganggu dengan kehadiran lelaki ini.
“Kenapa Intan lari daripada abang?”
“Lari? Taklah. Intan cuma tak nak ganggu Abang Iz,”
“Seminggu dua ni abang perhati Intan macam elakkan diri dari abang je. Kenapa?” aku menggeleng perlahan.
“Abang tak buta lagi, Intan. Abang dapat rasa yang Intan cuba jauhkan diri dari abang. Bercakap dengan abang pun nak tak nak je,”
“Intan masuk dulu. Dah lewat ni,” cepat-cepat aku berpaling darinya. Setapak ku langkah sebelum terasa tanganku ditariknya.
“Jawab soalan abang dulu. Baru abang lepaskan,”
“Tak ada apa-apa yang perlu Intan jawab. Intan tak lari daripada Abang Iz pun,”
“Kalau Intan tak lari daripada abang, buktikan. Temankan abang kat sini,”
Perlahan-lahan, tangan yang berada dalam pegangannya ku tarik semula. Bimbang perlakuannya ini menjadi tontonan Mak Long ataupun Irina. Makin haru jadinya. “Maaf, Intan tak boleh. Intan mengantuk sangat, nak masuk tidur,” terus aku berlari anak. Meninggalkan Faiz yang masih belum sempat membalas kataku.

***
“SEKEJAPNYA Abang Man balik,” Azman yang sedang menuang jus oren ke dalam gelas panjang itu, aku tegur. Baru sebentar tadi dia menghantar Irina dan Mak Long Latifah ke lapangan terbang. Irina menerima pelawaan dari salah sebuah majalah terkemuka Malaysia untuk menjadi gadis muka depan dan photoshoot akan diadakan di johor. Jadi Mak long dengan senang hati menemani Irina ke sana. Faiz pula sudah seminggu bercuti ke Kundasang.
“Jalan tak jem tadi. Sebab abang bawak roti,” gurauan Azman menggelikan hatiku. Terus tawa pecah dari bibirku.
“Intan tahu tak?” aku menggeleng. Intan cantik sangat. lagi-lagi kalau ketawa macam tu,”
“Ada-ada je Abang Man ni,” pandangannya yang menikam wajahku tidak aku hirau. Aku teruskan kerja mengelap pinggan yang sudah separuh jalan ku siapkan.
“Abang beruntung kalau Intan terima abang. Abang nak jadi suami Intan,”
“Abang Man. Jangan mengarut boleh tak?” aku tidak sedap hati dengan kata-katanya. Pinggan-pinggan yang telah aku lap, aku susun kembali di dalam kabinet.
“Kenapa susah sangat Intan? Abang sedia jadi suami Intan,” dekat suara itu di telingaku. Tubuh Abang Man yang sedikit gempal sudah berada betul-betul di belakangku.
“Abang Man te..tepilah sikit. In..Intan tak se..selesa,” tergagap-gagap suaraku dengan tingkah laku Abang Man yang aneh. Selalunya dia tidak begini denganku.
Terkejut besar aku apabila Abang Man mula mencempung tubuh rampingku. “Lepaslah, Abang Man. Janganlah bergurau macam ni. Intan tak suka,” aku memukul dadanya. Kaki Abang Man mula memasuki ruang bilik kecilku di hujung dapur.
Dilemparkan tubuhku di atas katil usangku. Dia mula membuka butang kemeja hitam yang dipakainya. “Apa Abang Man nak buat ni?” aku berdebar.
“Abang minta cara baik Intan tak bagi kan? Ini yang Intan nak kan?”
“Abang Man, Intan tak nak macam ni. Intan minta maaf kalau Intan buat Abang Man kecik hati dan terasa,”
“Memang abang terasa dengan Intan. Abang terasa benafsu dengan Intan sekarang. Abang terasa nak peluk Intan, nak cium Intan, nak tengok tubuh Intan,” Abang Man mula mendekati tubuhku. “Sebelum tu, abang nak tengok rambut Intan dulu. Mari abang bukak tudung Intan,”
Tangannya yang cuba menarik tudung di kepalaku aku tepis kuat. Jangan kurang ajar dengan Intan,” Serentak itu, tangan kananku melayang ke pipinya. Mengharapkan tamparanku yang agak kuat tadi mengembalikan semula kewarasan Abang Man.
“Kau tampar aku? Kau berani tampar aku?” Pipiku juga menjadi mangsa tamparan Abang Man. Berkali-kali sehinggakan aku sendiri dapat merasakan darah merah mengalir dari ulas bibirku. Aku benar-benar lemah. Abang Man seperti sudah naik hantu. Aku lihat dia mula melonggarkan tali pinggang yang dipakainya.
“Ya Allah, bantulah aku. Aku mohon peliharalah kesucianku ini, Ya Allah,” doaku dalam hati. Aku cuba bangun dari katil kecilku. Biar apapun yang terjadi, aku tak akan menyerahkan diriku pada seseorang yang bukan suamiku. Biarlah tubuh ini diterajangnya sekalipun. Aku sanggup asalkan dia tidak menyentuhku dengan cara ini.
“Kau nak pergi mana, hah? Jangan ingat kau boleh lari dari aku,” tanganku direntapnya kasar sebelum dia menghumbankan kembali tubuhku di atas katil. Berkeriut bunyi katilku.
“Binatang!” serentak dengan pekikan itu, tubuh Abang Man yang tadinya kelihatan gagah sudah tersungkur menyembah lantai. Tumbukan demi tumbukan yang di lepaskan oleh Faiz menyebabkan Abang Man terbaring.
Aku segera menghalang tindakan Faiz dengan memegang lengannya. “Kenapa? Kesian?” dia bertanya kepadaku. Orang macam ni patut diajar je, Intan. Kurang ajar,”
“Intan tak nak Abang Iz jadi pembunuh,” tubuh layu Abang Man ku pandang. Darah pekat mengalir dari hujung bibirnya. Dari hidungnya juga.

BIBIRKU yang agak membengkak dituam oleh Faiz. Sudah beberapa kali aku menolak tapi dia buat pekak sahaja. Sesekali kain yang dipegangnya dicelup ke dalam bekas yang berisi air panas.
“Terima kasih sebab tolong Intan tadi,”
“Tak perlu cakap terima kasih pun. Intan tanggungjawab abang,”
Aku terkedu. Kata-katanya membuatkan aku rasa dilindungi. “Macam mana Abang Iz boleh datang tadi?”
“Memang flight abang harini pun,”
“Intan tak tahu pun Abang Iz balik harini,”
“Mana nak tahu. Intan tak nak ambik tahu pun hal abang,” katanya seolah merajuk. Tangannya masih ligat menuam hujung bibirku. Kadangkala, tuala putih itu beralih ke pipiku pula.
“Intan buat sendiri pulak,” tanganku cuba merampas kain tuala putih di tangannya.
“Intan jangan degil boleh tak? Sakit-sakit macam ni pun nak tunjuk keras kepala lagi. Ajak pergi klinik tak nak,”
“Nanti macam-macam doktor tanya. Malulah Intan nak jawab,”
“Intan tahu tak abang risaukan Intan. Nasib baik abang cepat tadi, kalau tak…,” tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, aku letak jari telunjukku di bibirnya. Tidak mahu dia meneruskan ayatnya. Aku tidak sanggup mendengar. Malah untuk memikirkannya sahaja aku sudah gerun.
Dia menarik jariku dari bibirnya. Digenggamnya erat tanganku. Matanya memanah anak mata hitamku. Lama kami begitu sebelum bunyi loceng kedengaran dibunyikan dari luar.
“Intan pergi tengok jap,” aku segera bangun dari sofa yang ku duduki tadi.
“Intan duduk. Biar abang tengok,” dia menghalang pergerakanku dengan menarik lenganku agar kembali duduk.
Langkahnya ke pintu utama ku ekori dengan pandangan mata. Pintu dibuka sebelum wajah beberapa orang yang berkopiah menjamu mataku.
“Maafkan kami, encik. kami terima laporan, terdapat pasangan yang belum berkahwin berdua-duaan di dalam rumah ini. boleh tunjukkan kad perkahwinan encik?
“Ya Allah, dugaan apakah lagi ini?” hatiku merintih. 

***
“DASAR anak haram tak sedar diri. Kau ini memang jenis tak kenang budi. Aku jaga kau, bela kau dari kecik, ini yang kau bagi pada aku? Kau lumur taik kat muka aku, bodoh. Dasar budak sial. Tak sudah-sudah bawak sial,”
“Mak tak rela kau kahwin dengan budak ni. mak tak nak ada menantu anak haram macam ni. ceraikan betina ni, Iz. Ceraikan dia,” suara Mak Long Latifah terngiang-ngiang masih di telingaku.
“Fikir apa tu?” suara garau itu kedengaran dekat dengan telingaku. serentak dengan sentuhan lembut di bahuku.
“Abang Iz nak duduk sini ke?” serta merta aku ingin bangun dari buaian sebelum tangannya menghentikan perbuatanku. Aku duduk kembali.
Dia mengambil tempat duduk di atas buaian sebelahku. “Abang nak duduk sini..dengan Intan,” macam pernah dengar sahaja ayat ini. “Dengan isteri abang,” syahdu sahaja ayat itu kedengaran di telingaku.
Aku cuba tarik kembali tanganku yang tadinya dipegangnya. Tapi, dia mengeratkan lagi genggaman itu. “Kenapa? Tak suka abang pegang?”
“Intan tak nak orang tengok,” wajahku menunduk. Tidak berani bertentang mata dengannya. Rasa bersalah yang sudah bertapak dari tadi kembali menyerang.
“Biarlah orang nak tengok. Abang pegang isteri abang. Bukan pegang perempuan lain,” ditarik tanganku agar lebih erat. Bersatu dengan tangan kasarnya.
Aku diam. Tidak berniat untuk menjawab katanya. “Intan minta maaf, Abang Iz. Sebab Intan, Abang Iz yang jadi mangsa,”
“Jadi mangsa apa ni?”
“Jadi mangsa keadaan. Tak pasal-pasal kena tangkap basah dengan Intan,”
“Abang tak rasa abang jadi mangsa keadaan. Sebab abang rela kahwin dengan intan. Tak rasa terpaksa pun. Mungkin Intan kut yang terpaksa kahwin dengan abang,” dia menduga hatiku.
Aku memandang wajahnya yang masih selamba. Tidak ada langsung riak sedih atau terpaksa dari air mukanya.
“Amboi, seronoklah kau ya jadi pengantin baru?” sergahan Mak Long mengejutkan aku dan Faiz. Cepat-cepat aku tarik tanganku. Kau ingat bila kau dah kahwin dengan anak aku, kau boleh senang lenang je nak goyang kaki dalam rumah ni? tak payah buat kerja rumah lagi? kau jangan harap nak hidup senanglah, anak haram oi,”
“Mak, jangan panggil isteri saya macam tu. Saya tak suka,”
“Amboi. Sayang isteri nampak,”
“Memang saya sayangkan Intan, mak. Dan saya bersyukur kena tangkap basah dengan dia,” aku berpaling padanya saat dia melontarkan kata-kata itu. Terlihat ketegasan di situ. Setegas nada suaranya ketika itu.
“Iz ingat mak akan terima dia jadi menantu mak? Jangan harap Iz. Dia tetap anak haram yang kita tak tahu asal-usulnya. Entah dari mana datangnya,”
“Semua tu tak penting mak. yang lebih penting sekarang, dia dah jadi isteri Iz. Menantu mak,”
No. mak tak akan terima. Mak nak kau ceraikan dia. Sekarang jugak,”
“Jangan harap, mak. Selagi Iz hidup, Iz tak akan pernah ceraikan Intan,”
“Iz dah berani lawan cakap mak sekarang?”
“Iz minta maaf mak. tapi Iz tak akan ceraikan isteri Iz. Sebab Iz sayangkan dia,” serentak dengan itu, tubuhku ditariknya agar mengikut langkahnya masuk ke dalam. Meninggalkan Mak Long Latifah terpinga-pinga dengan balasannya sebentar tadi.

“TIDUR sebelah abang. Jangan berani nak tinggalkan abang tidur sorang-sorang,” keras nada suara lelaki yang sudah bergelar suamiku ini. Macam tahu-tahu saja aku ingin ke bilikku sebentar lagi. Ketika itu aku sedang duduk di birai ketil sementara dia sudah berbaring selesa.
“Tapi Intan...Intan tak biasa ti..tidur dengan lelaki,” tergagap sedikit suaraku. Malu.
“Apa Intan merepek ni? Sekarang ni abang suami Intan tau. Setiap kata abang, Intan kena dengar. Syurga Intan sekarang dengan abang. Abang pun tak biasa tidur dengan perempuan. Tapi abang nak tidur sebelah isteri abang. Tak salahkan?” dia mengangkat daguku agar memandang wajahnya. Aku menggeleng sahaja.
“First sekali, abang nak Intan bukak tudung,”
Aku serba salah. Rambutku yang tidak pernah menjadi tontonan mana-mana lelaki kini ingin dilihatnya. Berdebar-debar jantungku. Bagai mahu pecah. Ini baru dia minta nak tengok rambut, kalau dia minta haknya yang lain bagaimana pula reaksiku nanti. Perlahan-lahan, tangannya menarik tudung pink yang ku pakai. Meleraikan kain itu daripada melindungi rambut ikalku. Lama dia merenungku. Sampaikan aku tertunduk malu.
“Cantik isteri abang,” dia merapatkan tubuhnya denganku. Memelukku dengan erat. Lama kami berdakapan. Sesekali dia mencium rambutku. “Terima kasih, sayang,”
Aku terpana. Gemersik suara garaunya di telingaku. “Intan yang patut cakap terima kasih dekat Abang Iz,”
“Abang je. Tak nak ada Iz kat belakang,”
Aku mengangguk. Tahulah aku bahawa dia ingin aku memanggil dia sebagai suami. Bukan lagi panggilan yang menggambarkan panggilan terhadap sepupu. “Terima kasih, abang sebab sudi terima Intan. sudi layan Intan dengan elok,”
“Abang sayangkan Intan. Dari hari pertama abang nampak Intan, abang dah jatuh hati. Waktu Intan hidangkan makan malam masa hari first abang sampai. Masa tu Intan pakai baju tshirt blue black dengan kain batik. Tudung pulak warna cream. Betul tak?”
Aku tersenyum sambil mengangguk perlahan. Tidak menyangka dia masih ingat benda remeh begitu. “Intan pulak macam mana? Sayang abang tak?” aku menunduk. Malu apabila matanya tidak puas menikam anak mataku. Lama aku begitu sebelum daguku dipautnya perlahan. Dia mendongakkan wajahku agar memandang wajahnya.
“Kenapa? Malu? Intan tak cakap pun abang dah tahu. Abang nampak dari mata Intan,” mataku yang tadinya membalas pandangannya, Aku pejam rapat. Terdengar tawa kecil dari bibirnya. Mungkin lucu memerhatikan tingkah aku.
“Sayang tahu tak, perempuan kalau dia tutup mata masa lelaki renung mata dia, dia nak apa?” dengan mata yang masih terpejam aku geleng. Dia nak lelaki tu cium dia,” serentak itu, bibirku dipagut oleh ulas bibirnya tanpa aku duga. Tindakan spontannya itu menyebabkan aku membulatkan mata. Seketika sebelum aku kembali memejamkan mata. Ingin merasai kehangatan bibirnya yang melekat di bibirku.
Akhirnya, malam itu berlalu dengan membawa kenangan indah antara aku dan suamiku. Tanpa paksaan, aku menyerahkan segalanya buat dia. Termasuk hati yang selama ini tidak pernah terbuka untuk mana-mana lelaki. Aku bahagia bersamanya malam ini. Bersama sepanjang malam dan menikmati momen-momen indah yang baru dicipta antara aku dan dia.
***
PAGI itu, aku menyediakan nasi lemak berlaukkan ayam goreng. Awal-awal lagi aku sudah bangun, sebelum sempat suamiku terjaga setelah tidur semula selepas subuh tadi. air milo panas yang sudah ku bancuh aku bawa ke ruang makan.
Setelah itu, aku kembali semula ke dapur untuk mengangkat ayam gorengku yang masih di dalam kuali. Sedang aku membalik-balikkan ayam, terasa pinggangku dipeluk dari belakang. Ku toleh sebentar sebelum meneruskan kembali tugasku. Dia menyangkut dagunya di bahuku.
“Kenapa tinggal abang? Malu ke?”
“Aku tersipu. Mana ada Intan tinggal. Intan ada je ni,”
Dia mencium pipi kananku. Menjawab,”
“Jangan nak buat aksi mesra kat sini, Iz. Menyampah mak tengok,” suara Mak Long kedengaran. Cepat-cepat aku menjarakkan diri dari suamiku.
“Bukan salah pun apa yang Iz buat, Intan isteri Iz. Halal untuk iz,”
“Halal bagi kamu tapi betina ni tetap anak haram pada mak. Mak jijik tengok dia,” aku menunduk. Malu apabila mak long menghinaku di hadapan suamiku.
“Kalau mak jijik tengok isteri Iz, Iz bawak dia keluar dari rumah ni,” dia menarik tanganku agar bergerak meninggalkan ruang dapur. Aku terkejut. Kakinya mula memanjat anak tangga untuk ke biliknya yang berada di tingkat atas. Aku mengeraskan langkah di anak tangga paling bawah.
“Kenapa?” tanyanya setelah aku tidak mengikut langkahnya lagi.
“Intan tengah goreng ayam. Nanti hangus pulak,”
“Sayang, mak ada kat dapur tu. Dia boleh tengok. Lagipun ayam tu tak penting pun,”

***
“SAYANG fikir apa tu?” tubuhku dipeluk erat dari belakang. Dia memang suka begitu. Memelukku dari belakang sambil dagunya disangkut di bahuku. Leherku dikucupnya perlahan. Aku yang ketika itu sedang termenung di balkoni bilik, menggeliat kegelian. Sejak meninggalkan rumah Mak Long, aku dan Abang Iz tinggal di rumah milik ayahnya yang masih ada di KL.
“Intan teringatkan Mak Long dengan Irina. Macam mana diorang kat rumah? Makan apalah agaknya,”
“Sayang, mak dengan Irina dah besar panjang pun. Kalau diorang lapar, diorang boleh masak. Tak pun makan kat luar. Tak payah risaulah,”
“Tapi diaorang kan tak biasa kat dapur, mestilah Intan risau,”
“Abang nak merajuklah dengan sayang,”
“Kenapa pulak?”
“Yang jauh sayang risau, yang ada dekat ni sayang tak risau,”
“Kenapa cakap macam tu?” aku memusingkan badan ke arahnya. Mencuit manja hidungnya.
“Abang pun lapar jugak,” rengeknya.
“Bukan tadi kita dah makan ke? Baru sangat kita makan tadi,” aku memandangnya hairan. Tidak sampai sejam lagi aku dan dia makan malam, Dia sudah merengek lapar semula.
“Abang bukan lapar nak makan nasi, abang nak makan sayang,” dia ketawa lepas.
Aku mencubit lengannya yang masih setia di pinggangku. Dia menyeringai perlahan. “Mengada tau abang ni. Gatal,”
“Gatal dengan isteri sendiri tak salah kan?” dia mencium pipiku sebelum tubuhku dicempungnya untuk masuk ke dalam. Meletakkan tubuhku di atas katil sebelum dia menutup kembali pintu gelangsar yang ku buka tadi. Kakinya bergerak pula ke pintu bilik sebelum menguncinya. Aku perhati sahaja.
Senyuman senget yang tersungging di bibirnya serta kenyitan nakal matanya membuatkan aku malu. Malu untuk bertentang mata dengannya. Akhirnya, aku relakan sahaja perlakuannya padaku kerana aku juga mendambakan sentuhan hangatnya di tubuhku.

***
“SAYANG, siap cepat. Kita pergi hospital,” dengan wajah yang cemas, dia mengarahku.
“Buat apa? Siapa yang masuk hospital?” majalah yang sedang ku baca tadi, aku tutup.
“Mak dengan Irina. Accident,”
“Ya Allah, teruk ke abang?”
“Abang tak tahu. Sayang siaplah cepat. Kita pergi sekarang,” gesanya.
Sepantas kilat aku bersiap. pakai tangkap muat sahaja. Sekejap sahaja, aku sudah siap.


MELIHATKAN tubuh separuh abad Mak Long yang terbaring lesu dengan wayar yang berselirat di tubuhnya menyebakkan hatiku. Menurut doktor, kesan perlanggaran yang kuat menyebabkan tengkorak kepala Mak Long retak. Dan mungkin mengambil masa untuk sedar semula dari koma. Irina pula sudah dikeluarkan dari ruang ICU dan ditempatan di wad biasa. keadaannya tidak separah Mak Long. Cuma kaki dan tangan kanannya patah.
“Kita balik dulu, sayang. Esok kita datang lagi,”
“Tapi Mak Long…,”
“Esok kita datang lagi. sekarang ni, kita balik rehat dulu. Dari pagi abang tengok sayang tak rehat pun. Abang tak nak sayang pulak yang sakit nanti,” agak tegas suaranya.
“Tapi Intan kesian nak tinggal Mak Long sendirian kat sini,”
“Kalau sayang duduk menunggu kat sini pun, bukan boleh buat apa jugak. Kesiankan mak tapi kat abang ni tak kesian. Mana lagi penting? Abang atau mak?” dia memandang wajahku.
Aku tersenyum seraya mengangguk. Kalau sudah dia menggunakan kuasa vetonya, aku harus mengalah. Tidak mahu dia berkecil hati denganku.

***
“MAK LONG, Intan ada bawakkan bubur nasi ni,” bubur nasi yang disediakan oleh pembantu rumah baru mak long iaitu Kak Midah ku bawa bersama dengan air masak. “Mak Long nak makan sendiri atau nak suruh Intan suapkan?” Mak Long diam. Tidak menjawab langsung soalanku.
“Tak apalah, Intan letak kat sini. kalau Mak Long perlukan apa-apa lagi, Mak Long boleh panggil Intan atau Cik Mimi ya,” Cik Mimi ialah jururawat peribadi yang diupah oleh suamiku untuk menjaga ibunya. Walaupun aku hampir setiap hari berkampung di rumah Mak Long, suamiku itu tetap degil. Dia inginkan jururawat peribadi untuk menjaga ibunya dengan rapi.
Aku segera bangun dan ingin melangkah keluar. “Intan,” seru Mak Long perlahan.
“Ya, Mak Long. Ada apa-apa Mak Long nak suruh Intan buat ke?”
“Mari sini,” dia menepuk tilamnya. Mengisyaratkan agar aku duduk di situ. Teragak-agak aku menghampirinya semula sebelum menurut katanya untuk duduk.
“Ada apa Mak Long?”
“Mak Long nak minta maaf dengan Intan. Mak Long tahu selama ni Mak Long banyak berdosa dengan kamu. Mak Long selalu maki kamu, marah kamu, pukul kamu sampaikan Mak Long sanggup sepak terajang kamu. Sekarang Mak Long dah sedar, Mak Long buta hati selama ni. tak pernah tengok kebaikan dan keihklasan kamu pada Mak Long,” ada air mata yang mula membasahi pipi kiri dan kanan Mak Long.
“Mak Long, Intan tak pernah kisah pun dengan semua tu. Intan dah anggap Mak Long macam mak sedara Intan sendiri. Pada Mak Longlah Intan menumpang. Intan tak pernah berdendam Mak Long,”
“Kamu sudi maafkan Mak Long?”
“Intan dah lama maafkan Mak Long. Intan tak pernah ambil hati pun . Intan faham,”
“Terima kasih Intan. kamu memang yang terbaik. Anak saudara yang baik dan menantu yang baik,”
“Sama-sama, Mak Long. Intan juga nak ucap terima kasih pada Mak Long sebab sudi terima Intan jadi anak saudara Mak Long. Jadi menantu Mak Long,”
“Sama-sama, nak,” dia memeluk bahuku. Aku tersenyum lega. Lega dengan penerimaan mak long padaku. “Baik bini kamu ni, Iz,” kata-kata mak long membuatkan aku berpaling. Tidak menyangka suamiku juga turut serta. Di belakangnya Irina juga ikut mendengar.
“Kak, Rin pun nak mintak maaf. Selama jadi adik akak, Rin tak pernah hormat akak. Rin selalu maki akak. Rin sakitkan hati akak. Tapi sekarang Rin dah sedar, akak terlalu baik. Tak pernah marahkan Rin, malah sejak Rin sakit ni akak selalu tolong Rin, suapkan rin makan, tolong mandikan Rin. Rin malu dengan akak. Akak maafkan Rin ya?” Irina paut bahu aku. Membawa aku dalam pelukannya. Aku sedikit terkejut pada mulanya namun ku balas juga pelukan itu.
“Rin, akak tak pernah simpan dalam hati pun. Jangan risaulah,” aku menepuk perlahan belakang badannya.
“Terima kasih, kak,” katanya setelah pelukannya pada tubuhku dilerai.
Aku tersenyum lagi. lega. Benar-benar lega. Aku pandang suamiku yang sedari tadi setia menjadi penonton. Sedikitpun dia tidak menyampuk. Dia senyum bangga, aku balas dengan senyum senang.

***
“SAYANG suka tinggal abang sorang-sorang kan?” aku yang pada waktu itu sedang menyikat rambut di hadapan cermin meja solek berpaling.
“Intan naik mandi. Panaslah,” memang aku meninggalkan dia yang sedang khusyuk menonton tv untuk mandi. Badanku yang mula melekit selepas memasak tadi membuatkan aku tidak selesa. Dia bergerak menghampiri aku yang sedang menyapu sedikit losyen ke lengan.
“Isteri abang ni wangi-wangi nak pergi mana?”
“Nak tidurlah. Letih sangat hari ni,” aku membawa tubuhku ke katil. Merebahkan badanku dan dia juga ikut berada di sebelahku.
Sure nak tidur dah?”
Surelah,” jam di dinding, aku pandang. Sudah jam 11 malam.
Dia memegang perutku yang masih leper. “Baby papa nak tidur dah?” seketika dia tunduk mengucup perutku. Aku tersenyum melihat telatahnya. Sejak aku disahkan hamil, dia memang suka bercakap dengan perutku. Seolah-olah bayi kami mengerti kata-katanya.
Good night, papa. Baby dengan mama dah nak tidur. Papa cakaplah sorang-sorang,” aku cuit dagunya. Serentak itu, aku cium pantas pipi kirinya.
“Nakal,” katanya sambil mencuit hidungku. Dia bersandar selesa di kepala katil. Dia mendepakan tangan kirinya dan mengisyaratkan agar aku masuk ke dalam pelukannya. Aku akur sebelum dia benar-benar menarik aku rapat dengan tubuhnya. Kepala yang tadinya aku letakkan ke atas bantal tidurku kini sudah ku alih ke dadanya. Menjadikan dadanya sebagai tempat letak kepalaku.
“Kadang-kadang, abang rasa nak cari Azman semula,” kata-katanya membuatkan aku mendongak. Memandang wajahnya yang kelihatan selamba.
“Kenapa?” Masih berdendamkah suamiku ini pada Azman?
“Nak ucap terima kasih pada dia. Sebab dialah abang dapat sayang sebagai isteri,” aku tersenyum. Kebenaran yang sudah terbongkar apabila Azman datang menemui suamiku dan mengaku bahawa dialah yang menelefon pejabat agama agar aku dan Faiz ditangkap basah. Semuanya kerana dendam dan rasa tidak puas hati kerana niatnya untuk menjadikan aku isterinya tidak kesampaian.
“Semuanya dah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Jodoh, ajal dan rezeki kita, semuanya dah tertulis. Kalau dah kehendak Allah s.w.t yang abang akan jadi suami Intan, jauh macammana pun, kita akan tetap bersatu jugak,” walaupun dia dulu di Australia dan aku di Malaysia, kalau sudah jodoh aku dengannya, tetap bersatu jua.
Kini, aku bersyukur dengan keputusan suamiku ini untuk terus menetap di Malaysia. Dia akan mengusahakan  pembukaan cawangan syarikat bapanya di sini.
“Terima kasih sayang untuk semuanya. Sudi jadi isteri abang, menantu pada mak ayah abang dan yang paling penting, sayang sudi jadi ibu pada baby kita ni,” dia mengusap perlahan perutku. “Pada anak-anak abang yang tujuh orang nanti,”
“Tujuh orang?” aku sedikit terkejut. Rupanya dia sudah mempunyai perancangannya sendiri.
“Kenapa? Sayang tak sanggup ke?” dia kelihatan gelisah.
“Untuk suami sayang ni, satu pasukan bola pun sayang sanggup,” gurauku.
Okay then, abang nak sebelas oranglah,”
Aku membulatkan mata.
“Tadi kata sanggup kan?” dia kenyit nakal. Senyuman manisnya mencairkan hatiku. Akhirnya aku mengalah, turut membalas senyuman manisnya padaku.
“I love you, Intan Noraishah binti Abdullah,”
“I love you more, Mohammad Faiz bin Ahmad Goran,”
“I love you times infinity plus ten,” putusnya sambil mencium ubun-ubunku. Aku tersenyum senang dan mendongak untuk memandang wajahnya. Dia menunduk sedikit sebelum melekapkan bibirnya dengan bibirku.
Aku dan dia tersenyum bahagia. Jelas kebahagiaan terpancar di wajah kami. Kehadiran bayi yang masih dalam rahimku ini semakin menguatkan lagi  cinta kami. Aku bersyukur dikurniakan suami sebaik dirinya. Kehadirannya membawa bahagia dalam diriku yang sebelum ini penuh derita. Aku memanjatkan doa kepada sang pemilik cinta yang hakiki agar dengan izin-Nya, jodoh kami dipanjangkan hingga ke syurga.










               
           

            

No comments:

Post a Comment